Friday, October 31, 2008

Selamat Menyambut Hari Deepavali

Saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat India Kedah. Saya berharap Deepavali pada tahun ini lebih meriah daripada tahun-tahun yang lepas.
Tahun ini merupakan tahun pertama saya merayakan Deepavali sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah cuba sedaya yang mungkin untuk membantu masyarakat India yang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan keluarga miskin agar mereka dapat menyambut Deepavali dengan lebih meriah pada tahun ini namun tidak ramai yang dapat saya bantu memandangkan sumber kewangan yang terhad.
Tahun ini memberikan saya banyak pengajaran dan pengalaman yang membuka mata saya dan menginsafkan diri saya bahawa terdapat ramai masyarakat India di negeri Kedah yang hidup dalam kesusahan dan perlukan bantuan.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Dato' Seri Ustaz Hj Azizan Bin Abd. Razak Menteri Besar Kedah yang memberikan peruntukan kepada saya untuk saya sampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang tidak berkemampuan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil rakyat di negeri Kedah yang turut memberikan sumbangan Deepavali kepada masyarakat India di kawasan masing-masing.
Saya berharap pada tahun-tahun akan datang lebih banyak pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan.