Sunday, September 28, 2008

Perutusan AidilFitri dari MB



Sunday, September 28, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bagi pihak kerajaan Negeri Kedah, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, kepada rakyat negeri Kedah dan tidak ketinggalan kepada seluruh muslimin-muslimat di negara ini.
Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah Taala. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.
Semoga ‘Madrasah Ramadhan 1429’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan.
Setelah sebulan dalam bulan Ramadhan, kita bakal sama-sama menyambut hari kebesaran, iaitu Aidil Fitri.
Di sinilah letakkan penghujung atau kemuncak setelah kita berlapar dahaga, bersabar dengan cabaran Ramadhan, bermunajat di malam Ramadhan dan seumpamanya.
Segalanya bakal lenyap tanpa pahala jika kita alpa dan dilalaikan dengan sambutan Aidil Fitri yang terkeluar dari norma-norma Islam.
Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta bersedih kerana kita sudah terlepas daripada Ramadhan, bulan yang penuh rahmat.
Menyambut hari kemenangan ini tidak salah, tetapi yang salahnya adalah cara menyambut Aidil Fitri.
Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah swt sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh.
Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar.
Semoga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim sesama rakyat di negeri ini.
Saya yakin, kesempatan ini akan digunakan oleh rakyat dari berbilang bangsa untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain.
Teruskanlah budaya muhibbah ini, negeri ini milik kita, Kedah Sejahtera kerana kita.
Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi kerja dan amal kita dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT, menguatkan ukhuwah, persaudaraan di kalangan kita dengan ukhuwah iman dan Islam yang menyatukan umat Islam sehingga mereka tidak ada beza di antara satu sama lain.
Tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat pulang berhari raya di negeri tercinta ini kepada anak-anak Kedah yang berada di perantauan.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)
Sekian, terima kasih.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.
Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak
Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman

Wednesday, September 17, 2008

Permintaan Pertani Akan Diberikan Perhatian

Permintaan petani akan diberi perhatian - YB Arumugam
Oleh : Punithavathy
ALOR STAR: Kerajaan Negeri menyokong permintaan Badan Bertindak Petani Kedah untuk menaikkan harga padi. Ini berdasarkan kenaikan harga minyak petrol dan juga barangan makanan lain.Pengerusi Jawatankuasa Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan,Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri YB Arumugam Vengatarakoo berkata permintaan badan tersebut adalah wajar dan berpatutan."Kedah sebagai sebuah negeri pengeluar padi yang terbanyak adalah wajar permintaan petani-petani negeri ini di beri perhatian," katanya ketika mengulas isu petani negeri ini yang ingin menghantar memorandum kepada Perdana Menteri berkaitan harga padi yang tidak selaras.Beliau juga berkata harga setan keluaran padi di seluruh negeri harus diselaraskan. "Keadaan yang berlaku sekarang seolah-olah tidak adil kerana padi keluaran negeri Selangor diberi harga yang jauh lebih tinggi daripada harga keluaran padi negeri kita," ujar beliau.Tambah beliau lagi Kerajaan Negeri sedar nasib golongan petani negeri ini yang terpaksa berdepan dengan kenaikan kos pengeluaran. "Mereka juga terpaksa menanggung kos kerja pertanian dan dengan harga keluaran padi yang tidak kompetitif sudah tentu menyusahkan hidup mereka," katanya.YB Arumugam juga berkata Kerajaan Negeri berhasrat untuk berjumpa dengan Badan Berindak Petani Kedah untuk berbincang masalah yang dihadapi oleh mereka."Saya akan berjumpa dengan wakil Badan Bertindak petani negeri ini untuk mendapatkan gambaran yang jelas dan untuk menyelesaikan masalah mereka. Kerajaan negeri akan sentiasa memberi perhatian kepada golongan petani. Kita sebagai pengeluar padi sebanyak 53 peratus petani negeri kita harus diberi pertimbangan harga yang adil," katanya lagi.


Monday, July 28, 2008

Ekspo Negeri Kedah
Oleh: WADIASSOFI JAAFAR
ALOR STAR (25 Julai 2008): Sebanyak 100 buah gerai pameran dan jualan yang disertai pelbagai badan kerajaan, swasta, syarikat multinasional dan industri kecil dan sederhana (IKS) mengambil bahagian dalam Ekspo Negeri Kedah yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini yang bermula dari 23 Julai hingga 1 Ogos 2008.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains dan Inovasi, Bio Teknologi dan Pembangunan Usahawan, YB. Ir. Amiruddin Hamzah dalam ucapan pada majlis perasmian ekspo berkenaan berkata, empat perkara yang diketengahkan dalam ekspo itu adalah jualan IKS, sektor pertanian dan asas tani serta pameran agensi kerajaan.
Menurutnya, terdapat juga pameran dari syarikat multinasional untuk semua rakyat berkongsi maklumat dan mencari peluang pekerjaan yang sesuai.
"Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang ekspo ini seperti berbalas pantun dalam loghat daerah di negeri ini, tayangan wayang gambar, pameran kerjaya dan kempen derma darah," katanya.
Ujarnya, rakyat di negeri ini diminta datang beramai-ramai memeriahkan ekspo yang diadakan itu bagi mengetahui keunikan negeri sendiri yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
Ekspo Negeri Kedah itu dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah. Berangkat sama ialah KDYMM Tuanku Sultanah Kedah dan Yang Teramat Mulia (YTM) Dato' Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Sunday, September 14, 2008

Thursday, September 11, 2008

LAPORAN POLIS DAN BPR UNTUK GLC MENYELEWENG

OLEH: AMELIA HASHIM
ALOR STAR, 10 September - Kerajaan Negeri akan mengarahkan pihak pengurusan Government Link Company (GLC) yang dapat mengesan penyalahgunaan kuasa dan wang dalam pentadbiran terdahulu supaya membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, di sini.
“Kita telah setuju dengan keputusan dalam mesyuarat tadi supaya penyelewengan puluhan juta ini dilapor kepada polis dan BPR. Esok kita akan arahkan pihak pengurusan GLC berkenaan supaya membuat laporan segera kepada pihak polis dan BPR,” katanya
Ini ekoran Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti syarikat-syarikat yang telah menyalah guna kuasa dan wang di zaman pemerintahan kerajaan terdahulu. Setelah enam bulan pemerintahan kerajaan baru, penyelewengan ini berjaya dikesan. Ini berikutan beberapa langkah kerajaan dengan meletakkan pegawai baru di beberapa syarikat bagi memantau aliran kewangan syarikat-syarikat berkenaan..
“Kita ada bukti pengurusan GLC pada era pemerintahan kerajaan sebelum ini yang melakukan penyelewengan wang berdasarkan siasatan mendapati wang syarikat disalurkan kepada tempat-tempat yang tidak munasabah,” katanya.
Kerajaan Negeri mempunyai lebih 130 syarikat pengurusan perniagaan kerajaan yang beroperasi dalam pelbagai bidang. Semenjak pertukaran pentadbiran kebanyakan pegawai-pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan terdahulu telah meletak jawatan. Pelantikan beberapa orang pegawai baru bertujuan menyusun semula pentadbiran telah berjaya mengesan penyelewengan ini.
“Kita akan serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya,” katanya.


Thursday, September 11, 2008

MB Rasmi Dewan Peringatan Ghandi
Oleh Izwan Abdul Halim
SUNGAI PETANI: Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Baru Dewan Peringatan Gandhi di Jalan Sekerat, di sini telah disempurnakan Menteri Besar, YAB Dato' Seri Haji Ustaz Azizan Abdul Razak, Sabtu, 30 Ogos baru-baru ini.Menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, Ustaz Azizan menyingkap sejarah perjuangan Mahatma Gandhi yang diakui beliau sebagai tokoh disegani seluruh dunia.Sebagaimana Gandhi telah mengisi sejarah negara India, maka Ustaz Azizan mahu pembinaan bangunan baru itu mengambil berat soal pengisian yang akan diadakan setelah ianya siap dibina."Yang penting ialah peranan bangunan ini untuk menjaga generasi kita agar terus membina Kedah dan mempertahankan negeri kita. Kita mahu masyarakat bertanggungjawab seperti Gandhi," ujar beliau yang menekankan pentingnya aspek pembinaan kemanusiaan.Terdahulu, YAB Menteri Besar dan hadirin diterangkan sejarah bangunan lama Dewan Peringatan Gandhi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Dewan Peringatan Gandhi, Encik A. Balan Nair dan taklimat pembinaan bangunan baru oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Pembinaan Bangunan Baru, Encik S. Shamsundram.Turut menyampaikan ucapan ialah Pengerusi Jawatankuasa Bangunan Baru Dewan Peringatan Gandhi, Dato' Dr S. Subramaniam.Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Encik Arumugam Vengatarakoo, YB Tuan Haji Abdullah Jusoh dan YB Encik Tan Wei Shu serta Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato' Ghazali Din.FAKTA DEWAN PERINGATAN GANDHI, SUNGAI PETANI:Bangunan Lama:
Tahun 1951; masyarakat India di Sungai Petani menubuhkan Jawatankuasa Bangunan Dewan Peringatan Gandhi dengan tujuan mendirikan sebuah bangunan yang boleh pusat perhimpunan masyarakat India dan tempat mengadakan aktiviti komuniti berdasarkan prinsip hidup Gandhi dengan mengamalkan nilai-nilai moral dan akhlak mulia
Membeli sebuah tanah seluas 46,000 kaki persegi di Jalan Sekerat
2 Oktober 1954; perletakan batu asas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Syed Hassan Sahabuddin
9 November 1955; dirasmikan oleh Almarhum Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid
Memiliki dewan yang dapat memuatan memuatkan 200 orang dan dua bilik dijadikan pejabat dan bilik mesyuarat
Jumlah masyarakat India di Kedah semasa itu hanya 20,000Bangunan Baru
Dibina di atas bangunan lama yang akan dirobohkan
Dewan serba moden anggaran kos RM 7.5 juta
Aras Pertama: menempatkan beberapa kedai, restoran dan tempat meletak kenderaan.
Aras Kedua: dewan yang saiznya 25,000 kaki persegi serta memuatkan enam gelanggang badminton juga boleh mengisi 1,600 penonton secara kedudukan 'theater style', gimnasium dan bilik aktiviti kebudayaan
Aras Ketiga: 10 bilik boleh ditukar menjadi besar kecil, pejabat atau bilik aktiviti, auditorium yang dapat memuatkan 230 orang
Kemudahan lif hususnya untuk warga emas
Penghawa dingin sepenuhnya
Jumlah masyarakat India di Kedah semasa ini hanya 140,000UNGKAPAN MENARIK:"Pada tahun 1985, pernah kita (PAS) meminjam Dewan Kedah India Association (KIA) untuk kita mengadakan Mesyuarat Agung. Maknanya tuan-tuan telah beri sumbangan kepada PAS, satu perkara yang saya tidak akan lupa." – Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak"Masyarakat India telah banyak menyumbang kepada negara yang kita cintai ini. Hutannya diteroka, jalan raya dibina, Lembaga Letrik Negara, Telekom, Keretapi Tanah Melayu, disemua bidang ini terdapatnya titis dan peluh masyarakat India." - Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Dewan Peringatan Gandhi, A. Balan Nair